Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sedang mempertimbangkan untuk menyebar luas penggunaan Kad Kesihatan Kasih Makmur pada masa hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, ia melibatkan penggunaan di farmasi serta perkhidmatan pergigian oleh warga emas.
“Ada dalam perbincangan untuk kita menyebarluaskan (penggunaan) ke farmasi sekiranya ada keperluan lain tentang ubatan yang tidak mencukupi di klinik, vitamin atau susu kesihatan mahupun pampers (lampin pakai buang) yang tidak dibekalkan di klinik panel. Itu dalam perbincangan kita sekarang ini.
“Kita ada bincang untuk klinik gigi juga cuma yang menjadi kebimbangan kita kad tersebut nilainya RM500, nak buat gigi ni mahal. Atau mungkin boleh guna RM500 dan selebihnya ditanggung sendiri pesakit, itu yang sedang kita bincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Tuan V. Arumugam dan ADUN Luit, YB Dato’ Mohd Sofian Abdul Jalil pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan Kad Kesihatan Kasih Makmur kepada 37,046 penerima pada tahun ini melibatkan kuota Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pada tahun 2025, kerajaan negeri melalui Kuota DUN telah membuka permohonan dan jumlah penerima Kad Kesihatan Kasih Makmur adalah sebanyak 37,046 orang melibatkan pecahan Kuota DUN sebanyak 21,000 orang dan Kuota JKM sebanyak 16,046 orang.
“Manakala bagi tahun 2026, terdapat penambahan kategori penerima baharu kepada Veteran Angkatan Tentera dan Pesara Polis berumur 60 tahun ke atas berjumlah 10,000 orang penerima,” katanya. -PAHANGMEDIA

