Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Projek cendawan tiram yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Murni Sanggang, Temerloh, menjadi antara contoh komuniti luar bandar yang berjaya menjana pendapatan di bawah program Sejati Madani negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan dasar tersebut yang memberi impak positif kepada penduduk kampung.
“Desa Murni Sanggang ini daripada program Sejati Madani dan Kampung Angkat Madani ini tadi, dan mereka berusaha sedaya mungkin dan mereka diberi perhatian, diberi motivasi untuk meneruskan usaha-usaha murni ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly, dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 yang berlangsung di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Ketika menjawab soalan dikemukakan ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long, beliau memaklumkan bahawa program Sejati Madani yang diperkenalkan oleh YAB. Perdana Menteri telah melibatkan seluruh daerah di negeri Pahang sehingga 20 November lalu, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM39,312,359.
Sebanyak 411 kelulusan telah diberikan merangkumi daerah Kuantan, Raub, Jerantut, Maran, Rompin, Temerloh, Pekan, Lipis, Bentong, Bera dan Cameron Highlands.
Mengulas mengenai pelaksanaan Kampung Angkat Madani, beliau menjelaskan bahawa program itu diurusetiakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri dan diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan Luar Bandar.
Ujarnya, setiap kampung yang dipilih akan dipadankan dengan sebuah jabatan kerajaan Persekutuan untuk menjadi ‘jabatan angkat’ bagi membantu pelaksanaan pembangunan di kampung berkenaan.
Pada tahun 2024, program Kampung Angkat Madani melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi kampung RPS Benta di Lipis, Kampung Batu Balak di Jerantut, Kampung Cengal Lempong di Kuantan serta Kampung Orang Asli Melayu di Pekan, manakala pada tahun 2025, sebanyak 13 buah kampung di seluruh negeri Pahang terlibat dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM1 juta. -PAHANGMEDIA

