Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang akan membangunkan Fasiliti Pengurusan Sisa Kepada Tenaga (WtE) pertama di tapak seluas 35 hektar di Gebeng di sini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ia selari dengan ketetapan tiada lagi tapak pelupusan terbuka menjelang 2040 oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri sedang dan telah mengambil tindakan bagi membangunakan Fasiliti Pengurusan Sisa Kepada Tenaga yang pertama di Gebeng, Kuantan dan lokasi cadangan kedua adalah di Temerloh.
“Bagi merealisasikan hasrat ini satu tapak dengan keluasan 35 hektar telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajan) bagi pembinaan fasiliti tersebut dan sebahagian lagi akan digunakan sebagai tapak pelupusan sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa tapak pemindahan lain juga akan dibina di daerah lain yang berfungsi sebagai tapak terimaan sebelum di hantar ke fasiliti WtE.
“Selain dua fasiliti ini, beberapa tapak pemindahan transfer station akan dibina di beberapa daerah lain yang berfungsi sebagai lokasi terimaan dan seterusnya di hantar ke fasiliti WtE bagi memastikan kapasiti sampah adalah mencukupi.
“Pada masa ini, kapasiti sampah di daerah Kuantan adalah 500 hingga 600 tan sehari manakala keperluan WtE adalah 1000 tan sehari,” katanya.
Mengulas mengenai teknologi WtE ini, beliau berkata ia bukan sekadar penyelesaian pengurusan sisa tetapi strategi menyeluruh untuk menyokong ekonomi hijau, meningkatkan daya tahan tenaga negara dan membawa faedah berpanjangan kepada generasi akan datang.
“Penggunaan teknologi WtE juga menyumbangkan manfaat kepada rakyat seperti pengurangan karbon di mana ia mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan yang menghasilkan gas; menyokong pelaksanaan dasar karbon rendah negara (Low Carbon Cities Framework, NDC Malaysia).
“Peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat dalam sektor teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, dan pengurusan sisa pintar; Keselamatan Tenaga di mana ia dapat menambah sumber tenaga domestik yang mampan dan boleh diperbaharui dan mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api.
“Pemuliharaan alam sekitar dengan mengelakkan limpahan tapak pelupusan yang memberi risiko kesihatan dan alam sekitar, meningkatkan kualiti hidup melalui persekitaran lebih bersih dan teknologi moden; dan Pendidikan, Kesedaran dan Penglibatan Komuniti dengan pelaksanaan program kesedaran rendah karbon bersama sekolah, komuniti dan sektor swasta, serta galakan inisiatif komuniti seperti urban farming, car-free day dan program kitar semula,” katanya. -PAHANGMEDIA

