Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang menetapkan sasaran 56 peratus enrolmen pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, beberapa inisiatif baharu dilakukan Kerajaan Negeri bagi mencapai sasaran ini.
“Untuk tahun 2026, Negeri Pahang telah menetapkan sasaran enrolmen STEM seramai 3,419 murid, dengan keseluruhan sasaran enrolmen STEM negeri sebanyak 56 peratus.
“Bagi tahun 2026, beberapan inisiatif baharu untuk memperkukuh penglibatan murid terutamanya dari kawasan luar bandar dan pedalaman iaitu Program Mini Teater STEM; Program Pertandingan IMPBBPro Peringkat Negeri Pahang; Program School Tour Skor A+ SPM Pahang 2026; dan Program KmR PBL Junior STEM A (JUSA) Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Beliau berkata pelbagai kejayaan turut diraih oleh para pelajar negeri ini di peringkat antarabangsa membuktikan keberkesanan pelaksanaan program STEM di negeri ini.
“Sekolah Menengan Agama (SMA) Al-Maarif sekolah pertama Pahang yang mewakili Malaysia dalam FIRST Global Challenge 2025 di Panama City. Dikalangan 190 negara, SMA Al-Maarif Johan Video StoryTelling Award. Ini telah meletakkan Malaysia dalam kalangan 190 negara di tempat ke-86.
“Tiga pelajar orang asli SK Permatang Keledang, Pekan, masuk pertandingan International Robot Olimpiad ke-26 di Busan, Korea. Mereka telah mendapat pingat emas dalam Junior Creative Category (Technic).
“SJKT Ringlet, Cameron Highlands, pasukan robotik STEM menyertai Pertandingan WINSTEM2025 peringkat antarabangsa pada 22 November baru ini telah mendapat empat anugerah emas dan satu anugerah gangsa,” katanya.
Tambahnya, pelbagai inisiatif juga dilaksanakan di seluruh sekolah di negeri ini bermula daripada peringkat rendah sehingga menengah bagi membangunkan potensi pelajar.
“Inisiatif di peringkat sekolah rendah, murid di seluruh Negeri Pahang telah didedahkan kepada pelaksanaan Kefahaman melalui Rekabentuk (KmR) Modul 6.1 TS25.
“Inisiatif bagi murid di sekolah menengah, semua sekolah di Negeri Pahang melaksanakan Program Junior STEM A (JuSA) bagi murid Tingkatan 1, 2 dan 3 untuk membangunkan potensi murd ke arah STEM A sebagai persediaan untuk peningkatan enrolmen Tingkatan 4 dan Tingkatan 5,” katanya. -PAHANGMEDIA

