Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta beberapa agensi teknikal sedang memperkukuh penyelidikan bagi pembangunan teknologi penukaran susu getah kepada biofuel mesra alam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, berkata kajian awal di peringkat makmal menunjukkan potensi tinggi getah asli sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang berupaya menggantikan bahan api fosil seperti petrol dan diesel tanpa menghasilkan pelepasan karbon.
“Untuk makluman Yang Berhormat, pihak UMPSA telah mencadangkan proses ‘pyrolysis’ dan ‘energizing’ sebagai kaedah penyelidikan bagi kajian penghasilan biofuel getah ini,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, hasil pyrolysis getah skrap dijangka mampu menghasilkan biofuel untuk kegunaan jentera diesel, bahan pengalir arus elektrik, karbon hitam serta gas yang boleh digunakan semula sebagai tenaga haba dalam proses kitaran.
Pembangunan teknologi baharu itu, katanya, bakal memberi manfaat kepada 47,464 pekebun kecil getah di seluruh Pahang melalui peningkatan nilai ekonomi, selain berpotensi melonjakkan harga getah di pasaran dan memperkukuh kedudukan Pahang sebagai hab teknologi hijau dan automotif masa hadapan.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus membantu perkembangan penyelidikan terbabit dan mempertimbangkan pelaksanaan perintis sebaik hasil kerajaan mencapai tahap kesiapsiagaan teknologi yang sesuai.
“Akhirnya hasil biofuel ini dapat kita gunakan untuk kenderaan dalam negara khususnya di Pahang, insyaAllah,” tambahnya.
Menjawab soalan tambahan, Dato’ Mohamad Nizar berkata Kerajaan Negeri kini menunggu hasil kajian biofuel sepenuhnya, namun pada masa sama memperhebat perancangan pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri dengan kerjasama syarikat seperti Gold dan beberapa pihak lain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan insentif dan subsidi daripada Kerajaan Persekutuan perlu dikekalkan, termasuk pengecualian duti eksais dan duti import bagi kenderaan EV yang dijangka tamat hujung tahun ini. – PAHANGMEDIA

