Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Cukai tanah merupakan penyumbang terbesar dalam lima sumber hasil utama negeri Pahang apabila ia menyumbang 38.15 peratus daripada keseluruhan kutipan hasil negeri bagi tahun ini setakat November iaitu sebanyak RM762.9 juta.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan cukai tanah itu sekali gus mengukuhkan kedudukan hasil negeri yang terus mencatat prestasi stabil sejak 2022 bersama empat lagi komponen hasil utama lain iaitu royalti, lesen dan permit, perolehan jualan pelbagai barangan termasuk premium tanah serta geran Kerajaan Persekutuan.
Katanya, lima sumber hasil utama ini secara keseluruhan terus mengekalkan peranan sebagai sumber utama hasil Pahang apabila kutipan berjumlah RM891 juta pada 2022, RM935.9 juta pada 2023, RM932.6 juta pada 2024 dan RM762.9 juta sehingga November tahun ini.
Beliau dalam pada itu memaklumkan cukai tanah juga merupakan satu-satunya komponen hasil yang masih merekodkan tunggakan setiap tahun, dengan jumlah RM483.4 juta (2022), RM525.4 juta (2023), RM635.9 juta (2024) dan RM376.1 juta setakat Oktober 2025.
“Tetapi walau bagaimanapun saya hendak beritahu kepada Yang Berhormat, pada tahun 2021 tunggakan kita adalah sebanyak RM1.1 bilion tetapi selepas tahun 2021, pada tahun 2022, tunggakan kita RM483 juta, tahun 2023, RM552 juta, tahun 2024, RM635 juta dan pada tahun sehingga Oktober, RM376 juta.
“Dan insyaAllah pada tahun hadapan kita fokus kepada usaha untuk menguti tunggakan dan saya percaya usaha-usaha akan lebih kita giatkan untuk tahun akan datang.
“Usaha untuk mengutip tunggakan ini bukanlah satu perkara yang mudah tetapi walau bagaimanapun saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah juga kepada pihak PTG (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang) kerana mampu mengurangkan daripada RM1.1 bilion kepada lebih kurang 50 peratus tunggakan dan usaha ini akan diteruskan di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu katanya, hasil tidak berulang yang melibatkan kutipan premium, denda premium dan fi pengurangan premium secara one-off direkodkan sebanyak RM101.6 juta pada 2022, RM164.9 juta pada 2023 dan RM117.2 juta pada 2024, manakala tiada kutipan one-off direkodkan bagi tahun ini.
“Pada tahun 2025, ini pertama kalinya dalam tempoh empat tahun kita tiada hasil one-off tetapi kita masih mampu mendapat kutipan melebihi RM1 bilion dan ini jelas membuktikan bahawa hasil kutipan kita semakin stabil,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

