Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Pahang merekodkan nilai ikan tertinggi bagi pendaratan perikanan darat di negara ini berdasarkan jenis ikan bernilai tinggi yang telah dinaikkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, sementara itu pendaratan perikanan darat di Negeri Pahang adalah yang kedua tertinggi di Malaysia.
“Pendaratan perikanan darat di Negeri Pahang pada tahun 2024 adalah 2,218.20 tan metrik yang bernilai RM64.25 juta, berbanding pendaratan ikan pada tahun 2023 adalah 1,920.28 tan metrik yang bernilai RM53.49 juta. Kenaikan tersebut adalah 15.5 peratus dari sudut kuantiti dan 20.1 peratus dari sudut nilainya.
“Pendaratan perikanan darat di Negeri Pahang adalah yang kedua tertinggi di Malaysia tetapi yang tertinggi dari segi nilainya disebabkan ikan-ikannya yang bernilai tinggi. Secara tidak langsung ia meningkatkan pendapatan khususnya kepada nelayan darat Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang turut melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti menangkap ikan di perairan sungai secara berkala oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Pemantauan dan penguatkuasaan perikanan darat ini bertujuan untuk membanteras aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan yang dilarang seperti tuba, racun, bahan letupan dan peralatan elektrik di perairan sungai.
“Pada tahun 2025 sehingga Oktober, Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah melaksanakan lapan program pemantauan dan penguatkuasaan perikanan darat di perairan sungai Negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau lagi, Jabatan Perikanan Negeri Pahang turut melaksanakan program pelepasan 20.8 juta benih ikan ke perairan umum secara berkala di Negeri Pahang sejak tahun 2010 hingga kini.
“Bagi tahun 2025 sehingga September, jumlah benih ikan yang telah dilepaskan ke perairan umum adalah sebanyak 2.48 juta ekor. Spesies ikan utama yang telah dilepaskan ialah Kelah, Kerai, Temelian, Patin Buah, Tengalan, Sebarau, Baung Sungai, Lampam Sungai, Terbul dan Udang Galah.
“Selain itu, Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah membangunkan kawasan santuari ikan untuk memastikan spesies ikan air tawar terpelihara dan diurus secara lestari. Santuari ikan ini diurus tadbir oleh komuniti setempat dengan bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Pahang. Terdapat 6 santuari ikan yang telah dibangunkan di Negeri Pahang di mana 4 santuari ikan di daerah Lipis dan 2 santuari ikan di daerah Jerantut.
“Kejayaan pemuliharaan spesies ikan di kawasan santuari yang diwujudkan membolehkan populasi ikan bertambah di sungai-sungai dan kawasan perlindungan lain. Ikan yang berhijrah dari kawasan santuari ke sungai-sungai lain akan memberi manfaat kepada komuniti setempat dan peluang pelancong memerhati dan memberi ikan makan,” katanya. -PAHANGMEDIA

