Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang mengambil kira lima faktor bagi membangunkan kawasan eko-pelancongan di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, ia adalah penginapan, kebolehcapaian, tarikan, imuniti, dan aktiviti.
“Sebelum satu tempat pelancongan boleh berjaya, kita perlu ada persediaan. Sebagai contoh, beberapa tahun ini Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan untuk menambah baik infrastruktur pelancongan.
“Kita juga perlu mengambil kira tenaga kerja yang diperlukan. Contohnya kalau nak hiking ke Jeram Pelangi, mereka perlukan malim gunung. Jadi Kerajaan perlu mengambil kira tenaga kerja yang diperlukan.
“Selain itu promosi juga boleh membawa lebih ramai influencer atau media untuk mempromosikan tempat pelancongan di kawasan DUN Kuala Sentul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Jasri Jamaludin pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Tambah beliau, kawasan Kuala Sentul merupakan kawasan yang terkenal dengan air terjun dan boleh diketengahkan sebagai tarikan bagi menarik kehadiran pelancong.
“DUN Kuala Sentul berpotensi menjadi destinasi eko-pelancongan unggul, memanfaatkan keindahan air terjun dan hutan sambil memberi impak ekonomi positif kepada komuniti tempatan,” katanya. -PAHANGMEDIA

