Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 6 DISEMBER 2025 : Program Tekno Suri di bawah inisiatif Anggun Maju terus membuktikan keberkesanannya apabila ada antara peserta dalam kalangan suri rumah kini berjaya meningkatkan pendapatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa wanita, khususnya golongan suri rumah di Pahang.

“Kita ada banyak (kejayaan) sebenarnya. Daripada pendapatan yang sebelum mereka menyertai Suri-Tekno ini RM1,000 dan dengan adanya platform ini ada sampai menjangkau ke RM5,000 (sebulan).
“Sangat membantu dan sangat membanggakan pada kami pihak Kerajaan Negeri kerana berjaya memberikan ilmu kepada suri rumah bagi menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Suri-Tekno: Ke Arah Suri Rumah Celik Digital (Edisi Lipis) bertempat di Hotel Star-Well, di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan program Suri-Tekno pada hari ini merupakan siri terakhir bagi tahun ini dan Kerajaan Negeri akan terus memastikan pelaksanaannya mencapai impak maksimum kepada golongan sasaran.

“InsyaAllah, tahun depan kita akan buat lagi. Dengan pengumuman belanjawan yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang bahawa Anggun Maju masih lagi mendapat peruntukan untuk kita menjalankan program sebeginilah untuk wanita-wanita di negeri Pahang.
“Walaupun bajetnya sama (seperti tahun lalu) tapi kita akan cuba buat yang terbaiklah dan saya yakin dan percaya apa yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri ini telah dipertimbangkan dengan sebaiknya,” ujarnya.
Mengulas mengenai impak program tersebut, Dato’ Sabariah berkata ramai suri rumah kini lebih celik digital malah berjaya mengembangkan perniagaan kecil mereka ke platform dalam talian.
“Tujuan Suri-Tekno ini adalah untuk mendidik ibu-ibu ataupun suri rumah tangga untuk celik digital dan alhamdulillah dengan adanya program ini kita dapati ramai dah suri-suri rumah yang boleh melebarluaskan perniagaan mereka dan dengan dapat keuntungan yang lebih sebelum mereka menggunakan teknologi ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

