Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 06 DISEMBER 2025 : Pasangan mualaf, merupakan antara sembilan pasangan pengantin yang diraikan dalam Program Anggun Suri Tahun 2025 Parlimen Raub yang berlangsung meriah di Dewan Serbaguna Taman Dong Jaya, di sini hari ini.
Pasangan terbabit, Nesamalar, 21, dan Sharvin Raj, 19, yang pertama kali melalui pengalaman bersanding mengikut adat Melayu meluahkan rasa teruja apabila diraikan dalam majlis penuh tradisi itu.
““Happy (gembira) baru first time pakai macam ini, buat besar macam ni. Kita pun ada takut sikitlah tapi okey, happy sikit. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menganjur,” kata pasangan berkenaan.

Menurut pasangan itu, penyertaan mereka bermula ketika mereka hadir ke pejabat agama untuk urusan pernikahan sebelum dimaklumkan mengenai program berkenaan.
“Kita nak pergi ‘apply’ untuk nikah. Masa itu, kita buat dekat sana sajalah (pejabat agama). Masa tu dekat pejabat agama, satu ustaz ada bagi tahulah sama kita orang ada buat Anggun Suri dekat sini, ada tolong (sponsor)… baju, mekap semua ada. Kena bayar RM500 sahaja.
“Lepas saya fikir-fikir, tanya dengan dia (suami), dia cakap ‘okey’ boleh. lepas itu baru kita pilih yang ini,” kata Nesamalar.
Pasangan lain yang turut diraikan, Maryam Jamilah Muhammad Kasasi, 28, dan suaminya, Muhammad Hafiz Suhaimi, 34, memberitahu program Anggun Suri meringankan beban pengantin khususnya yang berpendapatan rendah.

“Say dan pasangan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana telah meringankan beban kamilah sebagai pengantin. Semuanya disponsor sepenuh.
“Duit lebihan boleh guna untuk kegunaan lainlah, masuk rumah baru, beli perkakas dan macam-macam lagilah,” kata pasangan terbabit.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, YB Dato’ Sabariah Saidan, serta barisan kepimpinan setempat.

Dalam ucapannya, YB. Tuan Fadzli merakamkan penghargaan kepada Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, Majlis Pembangunan Wanita Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta agensi kerajaan lain yang menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata, penganjuran Program Anggun Suri membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memfokuskan pembangunan sosial dan kekeluargaan selain pembangunan fizikal serta ekonomi.
“Program ini penting bagi memastikan lebih ramai pasangan, khususnya dari golongan B40, mendapat sokongan untuk merealisasikan impian mendirikan rumah tangga,” katanya. -PAHANGMEDIA

