Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 06 DISEMBER 2025 : Sukarelawan belia negeri ini secara rasminya dijenamakan sebagai Sukarelawan Belia Pahang 1st sebagai mengiktiraf peranan besar golongan belia yang aktif menabur khidmat bakti kepada masyarakat di seluruh negeri ini.
Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia peringkat negeri yang diadakan di Dewan Serbaguna Felda Lembah Klau, di sini.
Katanya, semua aktiviti sukarelawan belia selepas ini akan menggunakan identiti Sukarelawan Belia Pahang 1st sebagai nama rasmi sukarelawan tersebut.
“Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengiktiraf mereka dengan gelaran Sukarelawan Belia Pahang 1st. Jadi kita jenamakan Sukarelawan Belia Pahang 1st ini supaya khidmat sukarela di kalangan belia ini mengutamakan Pahang. Pahang nombor satu yang diberi keutamaan.

“Jadi ke mana-mana kita bergerak selepas ini kita akan gunakan nama tersebut. Jadi saya amat berharap selepas daripada program ini mereka kembali kepada masyarakat menabur bakti demi manfaat masyarakat atau penduduk setempat itu sendiri sebab mereka mewakili seluruh gerakan belia dari seluruh Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis berkenaan.
Majlis turut dihadiri Pengarah JBS Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Saharudin Ahmad.
Beliau dalam masa sama berharap Sukarelawan Belia Pahang 1st dapat digerakkan ke seluruh negeri khususnya bagi membantu penduduk menghadapi musim banjir.
“Saya harap begitulah. mereka bantu pasca banjir sebab mereka tak ada kemahiran macam agensi-agensi yang terlatih ini. Jadi saya minta mereka menabur bakti dan serentak dengan itu saya minta digerakkan di seluruh negeri. Sekarang pun dah musim banjir, ya. Jadi saya harap mereka boleh menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, YB. Tuan Fadzli memaklumkan sambutan Hari Kesukarelawanan Peringkat Negeri Pahang 2025 dianjur khusus sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan sukarelawan-sukarelawan khususnya di kalangan belia dari seluruh negeri yang selama ini banyak menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negeri ini.
Sambutan selama tiga hari yang bermula semalam itu menghimpunkan kira-kira seramai 120 sukarelawan belia dari seluruh negeri yang ditempatkan bersama keluarga angkat di Felda Lembah Klau.
Difahamkan Sepanjang program, para peserta menyertai pelbagai pengisian termasuk Subuh Fighter, aerobik, brisk walk, ziarah kasih, sukan rakyat, perlawanan persahabatan bersama bekas pemain Pahang dan Malam Kebudayaan melibatkan penyertaan belia dari setiap daerah.
YB. Tuan Fadzli dalam pada itu memaklumkan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM500,000 bagi penganjuran program sukarelawan belia tahun hadapan, selain meminta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang memperincikan pelaksanaan program berkenaan agar benar-benar menepati sasaran membentuk kumpulan sukarelawan yang faham tugas, amanah dan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. -PAHANGMEDIA

