Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM3.995 juta bagi melaksanakan pelbagai program strategik melibatkan golongan belia di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, peruntukan ini disalurkan kepada tujuh program yang akan dijalankan pada tahun hadapan.
“Program-program tersebut adalah, pertama, sebanyak RM700,000 melalui Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) bagi program anak muda seperti Moh Santai Orang Muda, Fun Run & Ride, Kelab Motor Tok Wan Pahang 1st dan Karnival Sukan MTSP Piala YAB Menteri Besar Pahang.
“Kedua, sebanyak RM150,000 untuk Retreat Pemimpin Muda Pahang 2026 bagi membina kepimpinan belia yang responsif dan inovatif; ketiga, sebanyak RM330,000 bagi Youth Volunteer@Community Pahang untuk menggalakkan pelaksanaan projek komuniti dan kemudahan asas oleh belia; keempat, sebanyak RM1 juta kepada Majlis Belia Negeri Pahang sebagai geran pengurusan untuk kelangsungan operasi dan program tahunan.
“Kelima, sebanyak RM475,000 bagi Youth Empowerment Society sebagai persiapan kepimpinan belia dari daerah hingga negeri; keenam, sebanyak RM300,000 untuk Program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 (Pelaksanaan Kerja Belia) bagi melahirkan pelapis belia profesional dan bertauliah; ketujuh, sebanyak RM1.04 juta melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang bagi program seperti Festival Belia Pahang, Anugerah Perdana Belia Negara, Hari Sukan Negara dan Program Sukarelawan Anak Muda In Action,” katanya.
Beliau berkata peruntukan ini disalurkan memandangkan golongan belia adalah tenaga penggerak serta pewaris masa depan negeri ini.
“Justeru, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program strategik dengan peruntukan khusus bagi memastikan belia Pahang terus berdaya saing, berwibawa dan mampu memimpin negeri ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

