Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM4 juta bagi penganjuran program ilmiah dan strategik di bawah Akademi Pahang 1st.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ia selaras dengan penubuhan akademi yang menjadi platform strategik membentuk kefahaman rakyat terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri.
“Akademi Pahang 1st ditubuhkan sebagai platform strategik dalam membentuk kefahaman rakyat terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri memperkukuh pendidikan kenegaraan, membina sahsiah dan jati diri serta sebagai pusat pembinaan minda rakyat Pahang.
“Selaras dengan fungsi tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta bagi penganjuran program ilmiah dan strategik.
“Antaranya, Wacana Intelektual Pahang: Konvensyen Pemikiran dan Dasar serta Inisiatif Penyelidikan Dasar Strategik Pahang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga menyedari kepenting mencari pelapis bagi kepimpinan negeri, maka Program Pahang Lead diteruskan dengan peruntukan RM2 juta.
“Program ini melatih pelajar sekolah dengan asas kepimpinan, pemikiran strategik dan nilai integriti.
“Anugerah Kecemerlangan Sekolah Pahang 1st pula diperuntukkan RM220,000 untuk menghargai sekolah terbaik setiap daerah yang menunjukkan pencapaian luar biasa dalam pengurusan dan pembangunan pelajar,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang menginginkan rakyat bukan sekadar menjadi pemerhati pembangunan tetapi menjadi penggerak, pelaksana dan pemimpin kepada masa depan negeri.
“Teras keempat iaitu Membentuk Rakyat Berjati Diri dan Melahirkan Pemimpin Masa Hadapan menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk membina generasi Pahang yang kuat jati dirinya, celik ilmu, teguh semangat kebangsaan serta bersedia memimpin negeri ini ke arah masa depan yang lebih makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

