Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang 2026 berjumlah RM1.274 bilion dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk inisiatif.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut merupakan baki selepas kos tetap seperti emolumen dan perbelanjaan mengurus diselesaikan.
“Seperti yang saya katakan tadi, belanja mengurus RM 1.274 billion, belanja pembangunan RM 446.26 juta, maknanya yang mengurus kita tidak dapat elak dah.
“Baki kita kembalikan kepada rakyat. Selepas kita bayar kos tetap, 40 peratus kita kembalikan kepada rakyat.
“Keseluruhan bajet ini menjurus daripada rakyat kepada rakyat, dan ini janji kerajaan, apa yang kita dapat, kita kembalikan kepada rakyat. Bagi saya, semua lapisan masyarakat terlibat mendapat bantuan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Beliau berkata, unjuran Kerajaan Negeri Pahang pada tahun hadapan adalah meningkat kepada tujuh peratus berbanding kebiasaan iaitu sebanyak lima peratus.
“Saya dah bentang bajet ini dah tujuh kali tak silap saya, setiap kali pembentangan ini mesti ada perkara baru dan juga ada perkara yang kita telah bertambah baik.
“Selalunya unjuran kita lima peratus sahaja tapi kali ini tujuh peratus. Dan perkara baru ialah lazimnya Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam ini, tahun lepas sebulan setengah sahaja, tahun ini dua bulan. Kemudian kita memperkasakan Aspirasi Pahang 1st, kita peruntukkan RM100 juta,” katanya.
Tambah beliau, nilai peratus pulangan ini merupakan semangat Kerajaan Negeri Pahang daripada dahulu dan dilakukan ikhlas bagi memastikan kebajikan rakyat di negeri ini.
“Kita berpendapat dengan nasihat daripada YB. Pegawai Kewangan Negeri, perbincangan dalam exco, kita mampu melaksanakan apa yang kita nak bagi kepada rakyat.
“Inilah semangat Kerajaan Negeri daripada dulu lagi, apa yang kita dapat kita akan kembalikan (kepada rakyat) dan ini lah yang kita buat sekarang dan kita buat ini ikhlas untuk rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA

