Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kanak-kanak seawal usia 4 tahun di negeri ini akan mendapat pendedahan kepada asas al-Quran, nilai murni dan akhlak Islam melalui peruntukan yang diberi oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri memandang pendidikan Islam sebagai asas pembinaan akhlak dan jati diri seterusnya melahirkan generasi huffaz dan masyarakat berakhlak mulia.
“Bagi memperkukuh pendidikan tahfiz serta memastikan anak-anak daripada keluarga B40 tidak tercicir, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.8 juta sebagai subsidi Tadika Tahfiz Negeri Pahang di semua 42 DUN (Dewan Undangan Negeri).
“Melalui inisiatif ini, kanak-kanak seawal usia 4 tahun akan mendapat pendedahan kepada asas al-Quran, nilai murni dan akhlak Islam seterusnya melahirkan generasi huffaz dan masyarakat berakhlak mulia,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju memberi geran padanan sebanyak RM7.5 juta kepada Yayasan Pahang bagi membina Maahad Tahfiz Negeri ketiga.
“Kerajaan Negeri juga bersetuju memberi geran padanan sebanyak RM7.5 juta kepada Yayasan Pahang bagi membina Maahad Tahfiz Negeri Pahang ketiga di negeri ini yang akan dibina di daerah Maran dengan kos keseluruhan sebanyak RM15 juta pada tahun 2026,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM500,000 bagi Pahang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) Competition bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti pelajar.
“Bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi Pahang STEM Competition yang membuka peluang kepada murid sekolah dan pelajar IPT (Institut Pengajian Tinggi) menonjolkan idea, inovasi serta ciptaan mereka di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

