Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 5 DISEMBER 2025: Meskipun terdapat suara yang mengkritik dan mempersoalkan perlaksanaanya, Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan inisiatif Juadah Makmur pada tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM8.5 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri turut meluaskan inisiatif berkenaan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan peruntukan RM1.2 juta.
“inisiatif ini menjadi wadah mempererat silaturahim serta memupuk budaya berkongsi rezeki yang mendapat sambutan sangat baik dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Selain itu tambahnya, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan program Jualan Makmur untuk membantu orang ramai mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan dengan peruntukan sebanyak RM7.56 juta selain turut meneruskan Inisiatif Makmur Pahang (IMP) bagi tahun 2026 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM84.59 juta ringgit, kenaikan sebanyak 67.37 peratus berbanding tahun ini.
Dalam pada itu katanya, suara dan kepentingan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian dalam arus pembangunan negeri dengan pelbagai program dan inisiatif akan terus dilaksanakan pada tahun hadapan.
Antaranya Projek Baik Pulih Rumah (RM1.5 juta), projek Pembekalan Air ke Kampung Orang Asli (RM500,000), program Penyerahan Bakul Makanan untuk masyarakat Orang Asli (RM2.63 juta), program Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang (RM400,000), serta pelaksanaan program seperti Education Demi Orang Asli (e-DOA) dan Program Insentif Kecemerlangan Pelajar Orang Asli (RM300,000). -PAHANGMEDIA

