Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang merupakan institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Pahang akan diberi wajah serta visi baharu sebagai Universiti Al-Quran.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bagi merealisasikan transformasi ini Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM20 juta sebagai geran mengurus dan pembangunan universiti.
“Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan aspirasi menjadikan Negeri Pahang sebagai pusat kecemerlangan ilmu Islam, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang merupakan institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri akan diberi wajah serta visi baharu sebagai Universiti Al-Quran bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi berakar kepada wahyu sebagai panduan utama kehidupan.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta sebagai geran mengurus dan pembangunan bagi memastikan agenda transformasi Universiti Al-Quran ini dapat direalisasikan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Peruntukan tahunan ini melibatkan kenaikan sebanyak 66.7 peratus berbanding peruntukan pada tahun 2025 iaitu sebanyak RM12 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

