Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM19.14 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melaksanakan dasar sosial secara berkesan selain RM10 juta lagi menerusi Tabung Bencana Negeri Pahang bagi kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menyedari kepentingan kebajikan warga emas dan orang kurang upaya (OKU), Kerajaan Negeri meneruskan Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) dengan peruntukan RM1 juta.
“Kerajaan Negeri turut menyalurkan pemberian one-off sebanyak RM300 kepada pelatih pemulihan dalam komuniti sebagai galakan untuk terus mengikuti program di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). Inisiatif ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM468,000.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri meneruskan sumbangan one-off sebanyak RM500 kepada setiap penyelia dan petugas PPDK melibatkan peruntukan RM150,000,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 di Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, dalam memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan peruntukan kepada tiga pertubuhan iaitu PEMADAM (RM75,000), PENGASIH (RM75,000) dan Drugs Intervention Community (DIC) (RM150,000) untuk melaksanakan program advokasi serta pendidikan antidadah.
Kerajaan Negeri juga katanya, turut meneruskan program-program pemerkasaan wanita termasuk Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Negeri Pahang (RM1 juta), Program Anggun Suri (RM1 juta) untuk membantu pasangan muda melangsungkan perkahwinan, serta Program Anggun Maju (RM1 juta) yang memberi manfaat kepada 1,000 usahawan wanita di seluruh negeri.
Dalam pada itu beliau berkata, pembinaan sebuah Kompleks Komuniti di Daerah Lipis dengan peruntukan RM10 juta yang bakal menjadi kemudahan sosial inklusif untuk manfaat masyarakat setempat selaras dengan agenda Kerajaan Negeri dalam menyediakan prasarana komuniti yang kondusif dan menyeluruh. -PAHANGMEDIA

