Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri terus komited memastikan rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa dan berdaya huni apabila meneruskan pemberian rumah percuma iaitu Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 6 dan RRP Kuota Orang Asli Fasa 7 bagi tahun hadapan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi pelaksanaan RRP Fasa 6, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM28.7 juta, merangkumi subsidi RM9.45 juta daripada Kerajaan Negeri dan RM19.25 juta daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
“(RRP) bertujuan membantu golongan miskin dan miskin tegar memiliki rumah yang selesa secara percuma dengan nilai RM80,000 seunit berserta kelengkapan rumah,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 sempena pembukaan Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam masa sama katanya, projek RRP Kuota Orang Asli Fasa 7 turut diteruskan dengan peruntukan RM10.29 juta bagi memastikan komuniti itu terus mendapat akses kepada kediaman yang selamat dan selesa. Projek ini merupakan sambungan daripada inisiatif yang bermula sejak tahun 2023.
Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa sejak RRP diperkenalkan pada tahun 2020 sehingga November lalu, sebanyak 1,110 unit RRP telah siap dibina dan diserahkan kepada penerima dengan nilai keseluruhan RM83.25 juta.
“Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri memberikan peruntukan mengurus dan pembangunan sebanyak RM8.55 juta ringgit kepada LPHP,” ujarnya.
Dalam pembentangan itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah atas keprihatinan Baginda mengilhamkan Program Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (RU’RASA).
Setakat November 2025, sebanyak 384 unit RU’RASA Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap dengan nilai RM32.45 juta, manakala LPHP memperuntukkan RM26.86 juta bagi pelaksanaan RU’RASA Fasa 3.
Selain itu, beliau turut memaklumkan projek Skim Tanah Warisan Fasa 3 dengan peruntukan RM15 juta turut diteruskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Lipis selepas kejayaan pelaksanaannya di DUN Jelai dan DUN Bebar. -PAHANGMEDIA

