Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.279 bilion bagi tahun 2026 iaitu peningkatan sebanyak RM91.83 juta atau 7.76 peratus berbanding 2025.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebanyak RM1.274 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus.
“Daripada jumlah ini, RM1.274 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset.
“…dengan peningkatan sebanyak RM91.83 juta atau 7.76 peratus berbanding tahun 2025 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM5 juta,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM446.26 juta bagi menampung perbelanjaan pembangunan negeri.
“Bagi menampung perbelanjaan pembangunan negeri dan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek, peruntukan sebanyak RM446.26 juta disediakan iaitu kenaikan sebanyak 11.67 peratus daripada peruntukan pembangunan tahun 2025,” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan diatas kelulusan 15 projek dan inisiatif melibatkan Negeri Pahang.
“Di kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas kelulusan 15 buah projek dan inisiatif untuk Negeri Pahang menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

