Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Negeri Pahang terus menjadi destinasi pilihan pelabur apabila mencatatkan sebanyak RM18.04 bilion pelaburan komited sehingga November lalu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah berkenaan telah melebihi sasaran yang ditetapkan pada tahun ini iaitu RM14.09 billion.
“Selain itu jumlah guna tenaga di Pahang dicatatkan meningkat dan kadar pengangguran pula menurun hasil limpahan peluang pekerjaan. Dalam aspek tenaga buruh, jumlah guna tenaga di Pahang meningkat kepada 788,800 orang pada suku ketiga tahun ini berbanding 768,600 orang pada tahun 2024.
“Kadar pengangguran pula menurun daripada 16,700 orang atau 2.2 peratus pada tahun 2024 kepada 13,800 orang atau 1.7 peratus pada suku ketiga tahun 2025, hasil limpahan peluang pekerjaan melalui pelaburan yang rancak serta pembangunan ekonomi yang berterusan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri sekali lagi menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan Tahun 2024 yang merupakan bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri mengamalkan tadbir urus kewangan yang cekap, telus dan berintegriti,” katanya.
Tambah beliau, semua pencapaian ini bukanlah digarap melalui pendekatan kerjasama seluruh jentera pentadbiran, sokongan padu rakyat, komitmen sektor swasta, kekuatan institusi negeri serta kestabilan politik yang dipertahankan bersama di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

