Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Pertikaian undang-undang berhubung notis pengusiran membabitkan pekebun haram durian Musang King di Raub berakhir semalam apabila pekebun terbabit bertindak menarik balik rayuan yang difailkan sebelum ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang dipengerusikan Datuk Lim Chong Fong membatalkan rayuan tersebut selepas peguam mewakili pekebun, Brendan Navin Siva, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak berhasrat meneruskan prosiding berkenaan.
Turut bersidang Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Ismail Brahim.
Peguam pekebun berkenaan turut memaklumkan beberapa responden termasuk Kerajaan Negeri Pahang serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) telah menuntut kos berkaitan proses rayuan itu.
Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Abdul Hafiz Razat, turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menuntut kos atas kerja-kerja yang telah dilakukan sepanjang pengendalian rayuan.
Peguam PKPP, Mohd Fairuz Abdullah pula memaklumkan pihaknya juga menuntut kos setelah meneliti rekod rayuan.
Hakim kemudiannya memberikan kos guaman sebanyak RM8,000 kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Pihak Berkuasa Negeri, Kerajaan Negeri Pahang serta PKPP sementara Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd tidak membuat sebarang tuntutan kos.
Berikutan perkembangan terbaharu penarikan rayuan di Mahkamah Rayuan oleh pekebun haram Musang King membuktikan ketegasan kerajaan negeri yang sesekali tidak akan berganjak mempertahankan hak mengikut undang undang.
Ianya sekaligus menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri Pahang tunduk kepada tekanan politik adalah sama sekali tidak benar. -PAHANGMEDIA

