Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 04 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan Inisiatif Makmur (IM) Pahang (Kluster Atlet Makmur) 2025 bernilai RM253,200 kepada 844 atlet negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, pemberian RM300 kepada setiap atlet ini merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam pembangunan atlet.

“Program Atlet Makmur Pahang ini merupakan inisiatif bersama Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang yang diperkenalkan pada tahun 2022 atas nama Pahang Pride Athlete.
“Dan ini (Inisiatif Makmur) adalah sebagai menghargai serta mengiktiraf sumbangan para atlet ini khususnya, kegigihan mereka, pengorbanan mereka, kesungguhan mereka menjalani latihan setiap hari.
“Jadi, kita harap dengan sumbangan sebegini akan menaikkan semangat dan iltizam mereka untuk terus bergiat aktif dalam bidang sukan dan mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Atlet Makmur 2025 di Swiss-bel Hotel sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.
Beliau berkata seramai 78 atlet dari Negeri Pahang akan mewakili negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada 9 Disember ini termasuklah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dalam kategori sukan polo.
Mengulas mengenai pemilihan atlet bagi Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor, beliau berkata senarai pendek atlet akan diputuskan pada Januari tahun hadapan.

“Atlet SUKMA ini, dia dalam long list lagi. Saya ingat Januari ini kita finalize shortlist siapa yang akan bertanding mewakili Pahang ke SUKMA. Kalau ikut di Sarawak tempoh hari, kita hantar 700 (orang) lebih atlet yang bertanding.
“Tapi, mungkin di Selangor ini, saya dah minta Majlis Sukan Pahang untuk buat persiapan rapi untuk kita hantar kontinjen penuh, maksudnya, mungkin melebihi 800 atlet yang akan mewakili Pahang nanti ke SUKMA Selangor.
“Ada sesetengah acara tu, kita lihat mungkin pencapaian tak bagus atau tak mencapai tahap, kita tak hantarlah. Maksudnya, bukan semua acara tapi, kalau boleh kita nak hantar ramai kali ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

