Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 30 NOVEMBER 2025 : Yayasan Pahang (YP) terus mengukuhkan kedudukan sebagai organisasi negeri berprestasi tinggi apabila meraih empat anugerah utama pada Top Employer Awards 2025 anjuran Jobstore.com yang berlangsung di St. Regis Kuala Lumpur pada 27 November lalu.
Pada majlis tersebut, YP menerima pengiktirafan bagi kategori Top CEO of the Year (Public Service) yang disandang oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YH Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Selain itu, YP turut diumumkan sebagai penerima anugerah Top Employer of Graduate Choice – Gold, Best Workplace Award – Gold (Public Service) serta Top Employer Award – Silver, sekali gus menampilkan kecemerlangan Yayasan Pahang dalam pelbagai aspek pengurusan sumber manusia dan pembangunan organisasi.

YH Dato’ Indera Mahmud yang hadir menerima anugerah berkenaan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Yayasan Pahang atas komitmen serta dedikasi mereka.
Katanya dalam satu kenyataan kepada media, kejayaan tersebut adalah manifestasi usaha berterusan YP dalam membangunkan ekosistem kerja yang profesional, inklusif dan berorientasikan prestasi.
“Kami menerapkan prinsip 3C iaitu, character, commitment dan competency dalam setiap kakitangan Yayasan Pahang.
Kami akan terus memperkukuh pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja serta inovasi organisasi demi manfaat rakyat Pahang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Pengiktirafan yang diterima katanya turut mengambil kira pelaksanaan pengurusan sumber manusia yang efektif, program latihan dan pembangunan yang menyeluruh, serta budaya kerja berintegriti melalui penerapan standard ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS).
“Kejayaan meraih anugerah Top Employer of Graduate Choice – Gold turut membuktikan bahawa YP merupakan antara pilihan utama graduan untuk memulakan kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam dan pembangunan sosial,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kejayaan ini selari dengan aspirasi Yayasan Pahang untuk terus “Memartabatkan Masyarakat” dan memperkukuh peranan sebagai organisasi negeri berimpak tinggi dalam pembangunan pendidikan, belia dan modal insan di Pahang.-PAHANGMEDIA

