Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 30 NOVEMBER 2025 : Majlis Senator Malaysia merupakan institusi yang membawa aspirasi rakyat negara ini serta memperjuangkan martabat parlimen serta masa depannya.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, peranan para senator amat penting dalam menyampaikan suara yang berwibawa, dan matang dalam menentukan hala tuju masa depan negara.

“Perbincangan yang berlangsung sepanjang pemukiman ini amat signifikan, khususnya berhubung keperluan memperhebat reformasi institusi Parlimen dan usaha memastikan kebebasan Parlimen terus terpelihara daripada sebarang campur tangan yang menjejaskan kewibawaannya.
“Dalam landskap politik semasa yang sering bergegar dengan retorik, kepentingan kelompok yang mendahului kewarasan dan perubahan yang berlaku secara pantas, negara memerlukan pemimpin yang matang, berpengalaman dan mempunyai kebijaksanaan merentasi zaman.
“Senator ialah tokoh yang memainkan peranan tersebut. Mereka menjadi suara rasional ketika negara memerlukan pertimbang teliti, menjadi pendamai ketika negara diuji dan menjadi pengimbang ketika dasar-dasar strategik negara perlu diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Pemukiman Majlis Senator Malaysia Tahun 2025 di Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands.
Beliau berkata sumbangan para senator wajar dihargai bagi memastikan Dewan Negara terus menjadi institusi timbang tara yang berprestij dan dihormati.
“Saya ingin menegaskan bahawa Senator Malaysia bukanlah sekadar penggubal undang-undang, tetapi barisan negarawan yang menjadi pembina dasar, penyampai kebijaksanaan, serta penjaga prinsipndemokrasi yang murni dalam sistem legislatif negara.

“Sumbangan Senator-Senator telah memastikan kestabilan politik dan keseimbangan kuasa dalam negara terpelihara, meskipun Malaysia melalui pelbagai fasa yang mencabar dan penuh dinamik,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Majlis Senator Malaysia yang ditubuhkan pada 2013 dengan ahli seramai 183 orang yang terdiri daripada Ahli Dewan Negara yang masih berkhidmat serta mantan Ahli Dewan Negara kerana memilih Negeri Pahang sebagai destinasi penganjuran pemukiman ini. -PAHANGMEDIA

