Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2025 : Kira-kira 700 penghuni Apartment Puncak Arabella, Tanah Rata, Cameron Highlands terputus hubungan akibat tanah runtuh di laluan utama ke kawasan kediaman berkenaan malam tadi.
Menurut satu kenyataan media oleh Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli, kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Pada 28 November 2025, lebih kurang 8.50 malam, Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Cameron Highlands telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat satu kejadian tanah runtuh di lereng bukit berhampiran Blok C Apartment Puncak Arabella, Tanah Rata yang menyebabkan laluan keluar masuk terputus.
“Anggaran seramai 700 penghuni yang terlibat dalam kejadian ini. Walau bagaimana pun tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata semua agensi terlibat juga telah digerakkan ke lokasi bagi tinjauan keselamatan dan penilaian kesesuaian penempatan selain membersihkan laluan.
“Jabatan Meteorologi dan Geosains (JMG) telah dihubungi bagi bantua penilaian segera berkenaan status tanah. Pasukan Jabatan Kejuruteraan JKR dan SMR turut telah bergerak ke lokasi untuk melaksanakan tindakan pembersihan jalan dan juga temporary precautions slope protection terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih dan melaporkan secara terus sebarang kejadian ke Pusat Kawalan Daerah IPD Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau di mana-mana balai polis berhampiran. -PAHANGMEDIA

