Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ihsan APM RAUB
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2025 : Sebanyak 11 buah keluarga melibatkan 23 orang mangsa di Kampung Ulu Sungai, Raub dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir yang melanda kawasan itu malam tadi.
Daripada jumlah itu, seramai 10 dewasa, empat kanak-kanak, lapan warga emas serta seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) terjejas.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub memaklumkan, PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai telah dibuka secara rasmi sekitar jam 10.30 malam tadi bagi menempatkan kesemua mangsa.
Difahamkan kejadian berpunca dari hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan limpahan air sungai yang mencetuskan kejadian banjir di kampung berkenaan.
APM Raub dalam pada itu turut menjalankan pemantauan berterusan di sepanjang laluan sungai yang terjejas bersama agensi penyelamat lain bagi memastikan keadaan terkawal. -PAHANGMEDIA

