Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 25 NOVEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) bagi Daerah Pekan, Kuantan dan Rompin di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah, Kampung Padang Polo, di sini.
Sebanyak 26 unit rumah dikurniakan Paduka Baginda kepada penerima terpilih merangkumi dua unit di Pekan, 12 unit di Kuantan dan 12 unit di Rompin.
Dalam titahnya, Paduka Baginda menegaskan bahawa rumah berkenaan adalah anugerah percuma dan tidak boleh dijual atau disewakan kepada mana-mana pihak.

“Jangan fikir nak jual ataupun nak sewa. Ini untuk memberi kemudahan kepada penghuni-penghuni tersebut. Boleh lah sampaikan anak cucu rumah ni. Itu adalah niat hasrat saya daripada awal,” titah Paduka Baginda.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis berkenaan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, barisan ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Paduka Baginda dalam titahnya turut mengingatkan kepada 3,729 penduduk yang menetap di atas Tanah Kesultanan yang merupakan tanah kurniaan Sultan Pahang supaya menjaga kebersihan rumah dan kawasan persekitaran masing-masing.

Paduka Baginda turut menasihatkan ibu bapa agar memberi perhatian terhadap pembentukan jati diri anak-anak dan memastikan mereka menjauhi gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah.
“Di sini saya nak ingat, mana-mana, anak yang terlibat dengan dadah, akan saya usirkan daripada Tanah Kesultanan. Kerana saya hendak rakyat yang tinggal di Tanah Kesultanan ini benar-benar bersih dari segala aspeknya. Pertama, kebersihan di rumah dan kebersihan diri anak-anak muda kita ini,” titah Paduka Baginda lagi.
Selain itu, Paduka Baginda turut menyarankan agar mereka yang menerima kurnia Tanah Kesultanan untun penyertaan dalam projek sosioekonomi terutama bidang pertanian.

“Dalam pada itu, saya juga berharap pihak-pihak yang masih lagi bertenaga, dapat menjadikan Tanah Kesultanan ini secara optimum.
“Ini bermaksud, penduduk di sini digalakkan memanfaatkan Tanah Kesultanan melalui projek-projek sosioekonomi yang boleh meningkatkan taraf hidup,” titah.
Paduka Baginda turut mempelawa penduduk mengemukakan sebarang cadangan dan idea kepada Majlis Kesultanan Pahang bagi memanfaatkan sepenuhnya tanah kurniaan tersebut.
“Usaha bersama ini diharap dapat memperkukuhkan kemakmuran Tanah Kesultanan serta menjamin kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

