Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 20 NOVEMBER 2025 : Kunjungan barisan pimpinan Kerajaan Negeri Pahang menerusi program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Daerah Pekan bertempat di Batu 8 Lepar, di sini, menggambarkan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan pesakit kronik di negeri ini.
Pesakit buah pinggang kronik, Encik Mat Piah Mohd Ali, 53, berkata, menerima kunjungan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan barisan pimpinan kerajaan negeri membuatkan dirinya rasa lebih dihargai.
“Terharulah. Rasa macam dihargailah sebagai rakyat Pahang ni. Amat-amat berbesar hati, berbangga saya sebagai rakyat Pahang ini.
“Ada keprihatinan daripada Menteri Besar sendiri. Sangat ambil berat… terima kasih banyak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Program Ziarah Makmur berkenaan turut disertai Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail; Pegawai Daerah Pekan, Tuan Azora @ Ahmad Shamsudin; serta barisan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Encik Mat Piah dalam pada itu memaklumkan beliau mula disahkan menghidap masalah buah pinggang sekitar Jun lalu selepas sambutan Hari Raya AidilAdha.
“Saya padanya mulanya membuat pembedahan buang nanah. Lepas itu dah sembuh, tapi tak boleh nak berjalan, macam lumpuh.
“Bila dah duduk wad itu, doktor periksa semua, ada masalah buah pinggang pula. Jadi sekarang ni saya dah mula buat dialisis. Ini dalam yang ke-11 kali dah hari ini,” katanya.

Bagi Puan Norlaili Zakaria, 27, yang menjaga ayahnya Encik Zakaria Majid, 76, bantuan yang diterima amat bermakna terutama dalam menguruskan rawatan ayahnya yang menghidap strok, darah tinggi dan kencing manis.
“Kalau ikutkan bantuan hari ini yang datang ini, alhamdulillah lah daripada segi kebajikan. Lepas itu dengan sumbangan, nak baiki sikitlah rumah, lantai-lantai, dinding, atap… macam itu ah. Dia ada pemimpin Kerajaan Negeri yang turun, alhamdulillah sangat.
“Saya bersyukur sebabnya Dato’ Sri prihatin kepada rakyatlah, orang cakap (bantuan) sampai ke rakyat itu, sampai sangat,” ujarnya.

Sementara itu, Cik Norazimah Nong, 50, penerima Orang Kurang Upaya (OKU) sejak kecil, menyifatkan penyampaian bantuan di bawah PSRM ini sebagai bukti kerajaan negeri benar-benar memahami keperluan golongan yang memerlukan.
“Saya OKU dari kecil. Ini sebenarnya bahagian arwah mak.. arwah mak baru meninggal 30 September hari itu. (Bantuan) ganti dengan sayalah.
“(Bantuan) cukup, alhamdulillah. Kerajaan Negeri prihatin, dah ada dapat (bantuan) JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Inisiatif macam ini dapat lebih dekat dengan rakyat, dapat tahu apa yang rakyat perlukan,” katanya. -PAHANGMEDIA

