Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aisyah Abdul Manan
MARAN, 20 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bakal bekerjasama bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memperkukuhkan jati diri anak muda di negeri ini melalui latihan askar wataniah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama bersama Rejimen 505 Askar Wataniah Pahang.
“Kita ada persetujuan untuk kita gerakkan penglibatan belia dalam Wataniah dan saya dah minta tindakan susulan daripada Jawatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang dan juga Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) untuk mengadakan pertemuan lanjut dengan Rejimen 505 Askar Wataniah Pahang ini untuk kita jalinkan kerjasama ini dan diharap boleh dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya nak belia terlibat aktif dalam wataniah kerana ia jelas membentuk disiplin, ketahanan dan jati diri. Ia (program ini) baik untuk belia dan anak muda kita,” katanya yang menjangkakan pelaksanaan dapat dimulakan selewatnya pada tahun hadapan.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru anak muda untuk terus aktif dalam pelbagai jenis sukan dan aktiviti pertahanan diri selari dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
“Jadi kita nak anak muda terlibat aktif dalam bidang sukan, pada masa yang sama lengkapkanlah diri dengan ilmu mempertahankan diri.
“Dan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar anak muda dilibatkan dalam aktiviti lasak, kita seharusnya menyahut titah ini.
“Dan saya minta majlis-majlis belia di seluruh daerah, pertubuhan-pertubuhan belia dan juga Majlis Belia Negeri Pahang laksanakan program untuk anak muda bagi membentuk ketahanan dan jati diri kepada mereka sebagai bekalan untuk menjalani kehidupan yang penuh mencabar hari ini,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut menekankan keperluan memperkukuh ilmu pengurusan kewangan, kemahiran berorganisasi serta penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan terhadap persatuan belia. -PAHANGMEDIA

