Oleh : Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 20 NOVEMBER 2025 : Program Sentuhan Makmur Rakyat (PSRM) Daerah Pekan yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Batu 8 Lepar, di sini hari ini menerima maklum balas positif daripada penduduk setempat yang berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sesi Townhall yang diadakan bersempena program berkenaan memberi peluang kepada penduduk untuk menyuarakan pelbagai permasalahan setempat secara terus kepada pimpinan tertinggi negeri di mana ia merupakan satu pendekatan yang disifatkan sebagai lebih telus dan berkesan.
Bagi Encik Mohd Jazlan Abdul Majid, 46, dari Kampung Seri Gemuruh, pelaksanaan program berkenaan bukan sahaja merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat, malah membuka ruang penyelesaian yang lebih cepat terhadap isu setempat.
“Program ni amat bagus untuk orang kata untuk merapatkan antara Kerajaan Negeri Pahang dengan orang kampung, masyarakat setempat.

“Dan apa yang saya nampak sekarang ini ialah masalah-masalah kampung yang di kawasan mana pun bila kerajaan Negeri Pahang dapat tahu, kita harap dapat penyelesaian lebih baik.
“Dan program ini bagus. Akan datang kena buat juga untuk merapatkan antara kerajaan Negeri Pahang dengan rakyat Negeri Pahang. Berterusan, betul… berterusan,” katanya ketika ditemui selepas sesi Townhall berkenaan.
Sesi Townhall bersama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar itu berjaya menghimpunkan kira-kira 700 penduduk dari kawasan sekitar bagi menyuarakan isu serta cadangan terhadap pembangunan negeri.
Turut hadir ialah YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin; serta barisan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Puan Norhafizah Ahmad, 48, dari Taman Agro Politan Batu Lapan Lepar, turut menyuarakan harapan supaya program yang mempertemukan rakyat dengan kepimpinan negeri diteruskan.

“Bagi saya baguslah. Makna orang kampung seperti kami ini dapat berjumpa dengan orang atasan dalam Kerajaan Negeri.
“Sebelum ini kita tak pernah berjumpa. Jadi mereka datang pun, kira apa permasalahan yang tak dapat diselesaikan daripada pihak bawah, terus ke atas. Jadi alhamdulillahlah. Makna banyaklah dapat disuarakanlah di sini kan hari ini,” katanya.
Puan Norhafizah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menganjurkan program yang disifatkan jarang dilakukan di negeri lain.
“Harapan kalau boleh buat macam satu acara yang orang kata walaupun tak setiap tahun kan, tapi sentiasa adalah… orang kata berjumpa dengan rakyat kan.
“Terima kasih kerajaan negeri kerana mewujudkan program-program seperti ini. Rasanya di Pahang sahaja yang ada macam ini kan. Di bawah pimpinan Tok Wan (YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail),” ujarnya. -PAHANGMEDIA

