Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 19 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri hari ini menyerahkan surat tawaran 54 unit rumah kepada penerima di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) Taman Sungai Kemap Indah, Luit, di sini.
Penyerahan tersebut dilakukan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dalam satu majlis rasmi yang turut menyaksikan sesi cabutan undi bagi menentukan unit kediaman yang ditawarkan kepada penerima.
Beliau berkata, program PRR merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di atas tanah kerajaan seluas 0.4 hektar melibatkan pembinaan 100 unit rumah.

Katanya lagi, projek tersebut bermula pada 2 Mac 2017 dan siap sepenuhnya dengan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada 24 Mei 2021, sebelum diserahkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) pada Mac lalu.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut memaklumkan baki 46 unit rumah belum dapat diserahkan adalah berikutan faktor keselamatan selepas berlaku pergerakan tanah akibat perubahan Monsun Timur Laut pada 2021.
“Bakinya kita akan serah kemudian. Kita dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa ada masalah keselamatan kerana ada pergerakan tanah di sekitar kawasan yang baki iaitu pencerunannya yang perlu dibaik pulih.

“Dan saya lihat tadi, kerja-kerja sedang giat dilaksanakan. Apabila siap rumah tersebut, pihak KPKT akan serah kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri akan serah kepada mereka yang layak mendapat rumah tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan berkenaan di sini hari ini
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; barisan ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga memaklumkan kerja-kerja pembinaan rumah dan pembaikan cerun terbabit mengikut jadual yang telah di tetapkan.
“Jadi, alhamdulillah syukur kerana semuanya mengikut jadual,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

