Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 NOVEMBER 2025 : Penggunaan nama Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) serta Ketua Pegawai Eksekutifnya bagi sebarang tujuan promosi tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.
Menurut satu kenyataan media oleh Unit Komunikasi Korporat ORACO, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikian.
“Adalah dimaklumkan bahawa mana-mana individu, kumpulan, pertubuhan atau syarikat adalah dilarang sama sekali menggunakan nama Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) atau nama Ketua Pegawai Eksekutif ORACO bagi sebarang tujuan pengiklanan, promosi, atau sebarang bentuk penerbitan awam.
“Larangan ini turut meliputi penggunaan nama tersebut dalam sebarang urusan pemohonan tanah, pelaksanaan projek, atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan hartanah masyarakat Orang Asli, sama ada bagi tujuan komersial, sosial atau peribadi.
“Pihak ORACO memandang serius sebarang penyalahgunaan nama syarikat atau Ketua Pegawai Eksekutif tanpa kebenaran bertulis. Justeru, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan yang berkuat kuasa,” katanya.
Menurut kenyataan berkenaan, pemberitahuan ini dilakukan bagi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri Pahang serta imej ORACO selain tidak akan bertanggungjawab di atas kerugian yang berlaku melibatkan pihak ketiga.
“Sehubungan itu, ORACO tidak akan bertanggungjawab di atas mana-mana kerugian yang perlu ditanggung oleh individu atau syarikat akibat daripada transaksi urusan yang dibuat oleh mana-mana pihak ketiga selain daripada ORACO.
“Pengumuman ini dibuat demi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri dan imej korporat ORACO yang bertanggungjawab menguruskan dan memantau tanah milik ORACO bagi pihak Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

