Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 15 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan pengusaha bas di negeri ini mengambil langkah memperkukuh keselamatan pengangkutan awam negara melalui bas yang selesa dan moden.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, ini dapat dilihat melalui pengeluaran bas baharu yang dilengkapi dari segi keselesaan, keselamatan, ciri teknikal dan reka bentuk oleh pihak Sanwa Tours.

“Saya juga ingin turut memuji pendekatan Syarikat Sanwa yang menampilkan bas baharu ini dengan sistem keselamatan terkini, iaitu Advanced Driver Assistance System (ADAS), dan Driver Monitoring System (DMS).
“Kedua-dua sistem ini adalah antara teknologi moden yang digunakan di seluruh dunia bagi mengurangkan risiko kemalangan, meningkatkan prestasi pemanduan dan memperkukuh pemantauan keselamatan secara langsung di atas jalan raya.
“Langkah-langkah ini amat sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri dan kementerian untuk memperkukuh keselamatan pengangkutan awam negara. Dalam masa yang sama, saya ingin menyeru dan menggalakkan pengusaha-pengusaha bas lain untuk turut mengambil langkah proaktif seperti Sanwa,” katanya.

Beliau berkata implementasi teknologi seperti ADAS dan DMS dapat membantu meminimumkan kadar kemalangan di jalan raya selari dengan keselamatan jalan raya yang menjadi aspek kritikal dalam industri pengangkutan.
“Dengan implementasi teknologi seperti ADAS dan DMS, ditambah pula dengan latihan pemandu yang berterusan, saya percaya usaha ini akan meningkatkan budaya pemanduan berhemah, mengurangkan risiko kecuaian, dan pada masa yang sama membantu meminimumkan kadar kemalangan di jalan raya.
“Melabur dalam sistem ADAS dan DMS bukan lagi satu pilihan, ia adalah satu keperluan dalam industri hari ini. Kita ingin melihat sebuah ekosistem pengangkutan yang maju, selamat, moden dan setanding negara-negara maju.

“Kita juga harus memahami bahawa pelaburan dalam keselamatan bukanlah semata-mata kos operasi. Sebaliknya, ia merupakan pelaburan strategik yang akan meningkatkan keyakinan pelanggan, reputasi jenama, kepercayaan pelancong, dan akhirnya pendapatan syarikat dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Bas Baharu Sanwa Tours (M) Sdn. Bhd. di Terminal Bas Muadzam Shah.
Hadir sama, Pegawai Daerah Rompin, Tuan Muhammad Hatta Kassim; Timbalan Ketua Pengarah Operasi, AgensiPengangkutan Awam Darat (APAD), YBrs. Puan Masita Mat Isa; dan Pengarah Urusan Sanwa Tours (M) Sdn. Bhd., YBrs. S. Sathies. -PAHANGMEDIA

