Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 NOVEMBER 2025 : Seramai 792 penerima di daerah ini menerima manfaat di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) 2025 Kluster Petani, Penternak dan Nelayan dalam satu majlis penyerahan bertempat di Dewan Paya Besar Dato Sri Abdul Manan, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, pemberian bantuan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan golongan sasar tidak tersisih berdepan cabaran ekonomi semasa.

Katanya, pelaksanaan IM Pahang bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan pendekatan holistik dalam memperkukuh sektor makanan serta menjaga kebajikan masyarakat luar bandar, lebih-lebih lagi menjelang musim tengkujuh.
“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat luar bandar, tetapi juga sebagai satu bentuk galakan kepada para nelayan dan petani yang terus gigih menyumbang kepada keterjaminan dan keselamatan makanan.

Komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memberi bantuan di bawah IM Pahang amat jelas dan menyeluruh, khususnya dalam memastikan golongan nelayan dan petani tidak terpinggir daripada arus pembangunan semasa,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian berkenaan di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif dan barisan pimpinan setempat.
Daripada 792 penerima terbabit, 314 penerima dari kategori kategori nelayan laut, 195 penerima di bawah kluster veterinar, 136 penerima di bawah kluster pertanian, 103 penerima di bawah kluster nelayan darat dan 44 penerima lagi terdiri daripada sektor akuakultur.

Setiap penerima menerima bantuan tunai RM200, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi daerah ini sebanyak RM158,400.
Dalam pada itu, secara keseluruhan, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM50.54 juta bagi pelaksanaan IM Pahang 2025 meliputi kluster pendidikan, kebajikan, kesihatan dan pembangunan komuniti.
YB. Dato’ Indera Mohd Shahar berkata, peruntukan besar itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun dan berkesan agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. -PAHANGMEDIA

