Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pelbagai inisiatif dan insentif kepada golongan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang dan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta seluruh agensi berkaitan akan terus menjadi rakan strategik menyokong usaha para usahawan.
“Di Pahang, kita melihat ramai anak muda serta usahawan kecil yang mendapat bimbingan MARA kini telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka hingga ke pasaran luar negeri.
“Atas kejayaan inilah, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga MARA, yang terus berperanan besar dalam mengangkat martabat ekonomi bumiputera, selaras dengan aspirasi negeri dan negara.

“Maka, pembangunan usahawan adalah salah satu tunjang utama Aspirasi Pahang 1st, kerana kemakmuran negeri hanya akan tercapai apabila rakyatnya makmur dan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) di Swiss-Belhotel.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada usaha pihak MARA yang mengangkat darjat dan martabat bumiputera termasuklah usahawan Pahang melalui program dan bantuan.
“…saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) di atas penganjuran program pengiktirafan yang berprestij ini yang bertujuan meraikan kejayaan dan keunggulan para usahawan Negeri Pahang ke arah Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan Bumiputera yang lebih bermakna, selari dengan halatuju Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) iaitu mengangkat darjat dan martabat bumiputera,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan siri jelajah beliau selaku Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS (MPUPK), beliau akan memulakan siri pada bulan hadapan di utara.
“Itu dibawah tiket sebagai penasihat khas pembangunan usahawan kecil dan sederhana, bermula pada bulan 12 ini, insyaAllah. Tujuannya untuk mendengar daripada akar umbi apa masalah mereka, apa pandangan mereka, apa cadangan mereka, dan saya akan bawakan kepada pihak atasan untuk dipertimbangkan.
“InsyaAllah akan bermula dengan Kedah Perlis dan seluruh negeri di Semenanjung. Harapan saya, saya mendapat maklum balas sebab kita kadang-kadang kita tidak tahu apa permasalahan sebenar usahawan-usahawan ini, usahawan kecil.
“Jadi kalau kita dapat bersemuka dengan mereka, dapat bertukar-tukar pandangan, pendapat, kita akan mendapat maklum balas yang baik, dan kita mudah untuk merancang dan membuat keputusan,” katanya. -PAHANGMEDIA

