Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan kehadiran pelancong seramai 15 juta ke negeri ini pada tahun hadapan sempena Visit Malaysia 2026 – Pahang First.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini berdasarkan promosi dan persediaan yang telah diatur bagi menarik kehadiran pelancong ke Pahang pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah setakat hari ini kita telah mencapai 11 juta pelancong datang ke Negeri Pahang dan sasaran kita 13.74 juta.
“Untuk tahun hadapan, sudah pastinya target kita lebih daripada itu, antara 14.5 juta ke 15 juta ke atas.
“Dan saya percaya insyaAllah sasaran ini akan dapat dicapai kerana kita telah merancang, berusaha, dan juga telah mempromosikan Visit Malaysia Pahang First pada tahun ini dan kita juga telah membuat persediaan-persediaan awal seperti mana yang kita buat hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Visit Malaysia 2026 – Pahang First di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang; dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Tuan Kamaruddin Ibrahim.

Beliau berkata melalui sasaran kemasukan pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri mensasarkan pendapatan keseluruhan yang bakal diterima pemain industri dan penduduk setempat adalah sebanyak RM13.4 bilion.
“Kehadiran mereka itu pelbagai pihak yang akan dapat limpahan ekonomi. Selain yang dapat kepada kerajaan, turut dapat adalah pengusaha hotel, kedai makan, restoran, homestay akan mendapat limpahan ekonomi.
“Perbelanjaan mereka itu lebih kurang RM13.4 bilion keseluruhan. Orang datang Pahang, duit yang mereka belanjakan. Dia bayar sewa hotel, dia bayar makan minum, minyak, shopping, dan sebagainya.
Majlis pelancaran Visit Malaysia 2026 – Pahang First ini turut diwarnai dengan pelancaran lagu tema Pahang First – Makmur Menyambut, kalendar Acara Pelancongan Negeri Pahang 2026, buku Pahang Travel Guide, dan aplikasi Pahang Destina. -PAHANGMEDIA

