Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 22 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM438,018 kepada 12 penerima di daerah ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan yang disalurkan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat, selain usaha berterusan memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri sentiasa terpelihara.
“Bukan hari ini sahaja, malahan kerap kita akan mengadakan penyampaian bantuan kepada yang memerlukan.
“Dan saya dah check dengan banyak-banyak negeri, Pahang sahaja yang ada bantuan mingguan…dwi mingguan,”katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan berkenaan bertempat di Majlis Perbandaran Bentong, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bukan semata-mata untuk meraih populariti, tetapi demi memastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat Pahang secara menyeluruh.
“Bukan kita saja-saja bagi. Kita kerja kuat apa semua ini bukan kita saja-saja nak kerja kuat. Sebab kita nak bantu rakyat, nak bagi kesejahteraan kepada rakyat dan dalam masa yang sama, kita nak negeri Pahang ini maju,” ujarnya.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan agar semua penerima menggunakan peruntukan yang diberikan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.
“Gunakan peruntukan ini dengan sebaik mungkin. Jangan tak buat program. Nanti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang datang, audit datang, saya tidak bertanggungjawab ya.
“Sebabnya dah ada kes… dapat duit, dia tak buat. Ataupun dia minta RM5,000, dia buat program RM500 sahaja. RM4,500 lagi masuk poket dia,” tegasnya.
YAB Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menasihati penerima agar bersama membantu dan bekerjasama dengan Karajaan Negeri dalam menjayakan setiap inisiatif yang dirancang demi manfaat rakyat dan pembangunan negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

