Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Khairul Azrin Holed
LIPIS, 17 OKTOBER 2025 : Mesej berkenaan kebajikan dan kesihatan merupakan intipati yang ditekankan pada program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Lipis bagi memastikan kesihatan masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia juga selari dengan titah Sultan Pahang untuk merancakkan aktiviti sukan dan rekreasi di negeri ini.
“Tadi ziarah Kampung Salang, ziarah 11 rumah. Saya sampaikan bantuan makanan dengan wang tunai untuk mereka yang memerlukan khususnya di kalangan B40 dan juga mereka yang uzur. Dan ternyata mereka gembira dengan kehadiran saya selaku wakil Kerajaan Negeri kerana setidak-tidaknya kita membantu meringankan beban mereka dan tadi saya tengok sambutan daripada masyarakat sana pun cukup baik ramai yang mengikut menziarah bersama sekali.
“Sekarang untuk kita galak masyarakat amalkan gaya hidup sihat. Ramai anak-anak muda tadi. Senam robik, main bola jaring, pickle ball, memang kita nak galak rakyat Pahang ini aktif dan bersukan seperti mana titah Tuanku baru-baru ini untuk merancakkan aktiviti sukan dan rekreasi di Negeri Pahang ini khususnya nak ajak masyarakat amalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga amat menggalakkan masyarakat di negeri ini khususnya orang muda untuk mengamalkan budaya hidup sihat.
Beliau telah menziarahi 11 buah rumah di Kampung Salang dan seterusnya beriadah bersama penduduk setempat di Taman Pertama, Lipis pada program berkenaan. -PAHANGMEDIA