Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aisyah Abdul Manan
Foto : Ezzatul Shafiqa Asmawai
MARAN, 15 OKTOBER 2025 : Program Multaqa Ulama akan diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan beberapa tokoh ulama terkenal daripada seluruh dunia bagi menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat di negeri ini.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman, program bersama tokoh ulama dari Yaman, Habib Umar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pahang Kampus Jengka telah berjaya menarik lebih 1,500 peserta.
“Alhamdulillah, pada hari ini kita telah berjaya menganjurkan program Multaqa Ulama bersama-sama Habib Umar bin Muhammad bin Salim Al-Hafiz dari Yaman dan program kita tadi bermula seawal pukul 9 pagi tadi dengan pembentangan kertas kerja sebanyak empat kertas kerja.
“…seperti mana kita tengok kehadiran peserta-peserta, jemputan tadi pun sangat memberangsangkan dan kita sebagai penganjur amat berpuas hati atas penganjuran program kali ini dan insyaallah kita akan cuba adakan program-program lagi seumpama ini dengan menjemput beberapa lagi tokoh-tokoh ulama yang terkenal daripada serata dunia ke Negeri Pahang kita ini insyaallah.
“Daripada luar juga ada (peserta), seperti mana pembentang juga daripada luar ada, daripada Indonesia, ada juga daripada Aceh bersama-sama turut serta dalam program kita pada kali ini,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program yang pertama kali diadakan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan ilmu agama serta memperingati tokoh ulama.
“…seperti kita sedia maklum habib kita ini seorang tokoh ulama yang terkenal daripada Yaman dan alhamdulillah semoga dengan kehadiran beliau ke Negeri Pahang ini semoga kita dapat sama-sama menimba ilmu, dapat barakah daripada ilmu, dan juga dapat berkesempatan untuk sama-sama mendengar tausiah daripada beliau sebentar tadi. Dan pada malam ini kita akan bersama-sama dengan beliau juga di Majlis Maulid memperingati tokoh ulama kita,” katanya.
Program yang diteruskan malam ini sempena memperingati tokoh ulama diadakan di Padang Awam Kampung Kuala Tekam, Temerloh, telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad sebagai wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang. -PAHANGMEDIA