Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUCHING, 15 OKTOBER 2025 : Pahang Gold Sdn. Bhd. telah menandatangani Surat Hasrat untuk bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) pada majlis anjuran World Zakat & Waqf Forum (WZWF) 14th Annual Meeting and International Conference di Kuching, Sarawak.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuh peranan emas sebagai aset Islamik yang bernilai dan berimpak sosial tinggi, di samping memperluas peluang masyarakat untuk berinfaq dan berwakaf secara lebih mudah telus dan berstruktur.
Melalui hasrat bersama itu, Pahang Gold akan membangunkan platform digital yang memberi peluang kepada masyarakat untuk berinfaq dan berwakaf emas melalui Yayasan Wakaf Malaysia serta meneroka mekanisme pencairan emas bagi tujuan penyaluran manfaat kebajikan kepada masyarakat secara mampan dan sistematik.
Menurut Pengarah Pahang Gold Sdn. Bhd., Tuan Haji Abdul Muariff Tahuddin Abdul Mutalid, kerjasama itu melambangkan komitmen Pahang Gold untuk memperkukuh ekonomi ummah melalui inovasi berasaskan emas.

“Kerjasama ini melambangkan komitmen Pahang Gold untuk memperkukuh ekonomi ummah melalui inovasi berasaskan emas. Kami percaya emas bukan hanya lambang kekayaan, tetapi pemangkin kepada pembangunan sosial berteraskan waqf yang berkekalan dan melalui pendekatan baharu ini, aset emas dapat dimanfaatkan secara lebih produktif untuk faedah ummah, selaras dengan matlamat WZWF dalam membangunkan tatanan baharu global zakat dan waqf,” katanya.
Majlis pertukaran surat hasrat itu tadi telah disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Nai’im Mokhtar.
Dalam pada itu, penyertaan Pahang Gold di WZWF 2024 menunjukkan langkah penting dalam memperkukuh peranan korporat negeri Pahang di peringkat antarabangsa selaras dengan tema forum tahun ini iaitu Tatanan Baharu Global Zakat dan Waqf: Penyelesaian Inovatif untuk Cabaran Semasa dan Pembangunan Sosioekonomi Digital Masa Depan. -PAHANGMEDIA

