Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 15 OKTOBER 2025 : Kem Jati Diri ‘Koi Waris Felda’ mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi Felda yang berdisiplin, bermotivasi tinggi serta memahami akar sejarah peneroka Felda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain, berkata, seramai 370 pelajar Tingkatan 3 dan 4 dari 15 buah sekolah di Wilayah Kuantan terlibat dalam kem berkenaan.
Katanya, penyertaan mereka sekali gus menunjukkan semangat dan minat generasi muda untuk mengenali lebih dekat sejarah Felda serta memahami peranan kerajaan dalam pembangunan komuniti luar bandar.

“Program ini sangat baik, semoga memberi motivasi dan saya juga bertanya berkaitan tentang sejarah Felda pada mereka ini antara waris-waris, cucu, peneroka dan (respon) sangat baik. Mereka juga ada maklumat dan tahu tentang sejarah Felda ini.
“Saya harapkan program sebegini dapat diteruskan oleh kerajaan Negeri Pahang di bawah Sekretariat Muafakat Felda Pahang dan juga dilaksanakan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang bersama dengan Felda dan juga semua yang terlibat, katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kem Jati Diri ‘Koi Waris Felda’ (Felda Wilayah Kuantan) yang diadakan di Dewan Semai Bakti Felda Chini 1, di sini hari ini.

Kem Jati Diri ‘Koi Waris Felda’ merupakan kesinambungan siri penganjuran yang melibatkan tiga wilayah utama Felda di Pahang, iaitu Wilayah Jengka, Wilayah Mempaga dan Wilayah Kuantan.
Wilayah Jengka menjadi lokasi pertama pada 9 Oktober lalu di Dewan SMK Jengka Pusat melibatkan 10 buah sekolah, diikuti Wilayah Mempaga semalam (11 sekolah), dan Wilayah Kuantan hari ini (15 sekolah).
Tambahnya, usaha Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail melalui Sekretariat Muafakat Felda Pahang membuktikan keprihatinan terhadap pembangunan sahsiah dan pendidikan generasi baharu Felda.

“InsyaAllah program sebegini dapat diteruskan agar mereka sebagai generasi baru terutama di kawasan Felda ini dapat banyak maklumat berkaitan kerajaan, berkaitan tentang Felda dan juga mereka juga dapat meningkatkan jati diri mereka agar mereka ini mempunyai disiplin dan juga boleh hindar daripada permasalahan gejala sosial terutama di kawasan Felda,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berharap agar semua pihak terutama generasi baru Felda lebih menghargai setiap usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri dalam mentadbir urus negeri ini dengan baik.
“Ini semua kena tahu… kebijaksanaan pemimpin kita dan segala bantuan yang Kerajaan Negeri telah salurkan ini bukan satu perkara mudah untuk dibuat semua orang,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

