Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 OKTOBER 2025 : Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) diiktiraf sebagai Inisiatif Cemerlang oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berpandukan nilai H.E.M.A.T pada 25 September lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa perkhidmatan awam di negeri ini.
“Tahniah diucapkan kepada YB. Setiausaha Kerajaan Pahang serta seluruh warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang atas kejayaan Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) diiktiraf sebagai Inisiatif Cemerlang berpandukan nilai H.E.M.A.T oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa perkhidmatan awam yang berpaksikan nilai integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap rakyat.
“Syabas dan terima kasih kepada warga pentadbiran negeri, agensi terlibat serta semua penjawat awam yang telah menjayakan pelaksanaan PSRM di setiap daerah,” katanya.
Beliau turut berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi untuk memperkukuhkan Aspirasi Pahang 1st, demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri Pahang.
PSRM diperkenalkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang di daerah Rompin pada 23 Januari 2025 dengan berkonsepkan siri jelajah ke setiap daerah di seluruh negeri ini yang bertujuan membantu menyelesaikan pelbagai isu dan masalah berbangkit yang dihadapi oleh rakyat.
Selain itu program ini juga dapat meningkatkan penglibatan penjawat awam melalui aktiviti turun padang dengan bertemu masyarakat serta bertindak sebagai agen penyampai maklumat program-program kerajaan melalui pengisian seperti aktiviti Ziarah Makmur, lawatan projek, sesi town hall, selain pameran dan reruai daripada jabatan-jabatan yang terlibat. -PAHANGMEDIA

