Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan segera bagi menangani isu banjir yang berlaku di Kampung Kubang Ikan dan Kampung Chendor akibat pembinaan jalan ke Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Cerating, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, berkata hasil lawatan dan pemantauan di tapak mendapati wujud masalah banjir yang berpunca daripada kerja-kerja pembinaan jalan berkenaan.
“Semalam saya dapat aduan berkenaan dengan isu banjir akibat daripada pembinaan jalan ini dan hari ni saya turun bersama dengan PBT (pihak berkuasa tempatan), MBK (Majlis Bandaraya Kuantan) ada, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) ada dan juga MRL (Malaysia Rail Link) dan juga CCCC (China Communications Construction Co. Ltd.) dan juga pihak pemimpin kampung, wakil penghulu semua.
“Jadi hasil daripada pemantauan di tapak ni, kita dapati memang wujud banjir disebabkan oleh pembinaan jalan dan kita minta pihak kontraktor atau CCCC melihat balik reka bentuk jalan keseluruhan secara overall (keseluruhan),” katanya ketika ditemui selepas lawatan berkenaan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil tinjauan mendapati perlu ada tindakan segera bagi memastikan aliran air kembali lancar seperti sediakala.
“Yang keduanya untuk sementara ini dia kena buat temporary culvert (pembentung sementara), memastikan laluan aliran air ini dapat flow (aliran) terus kepada Sungai Cerating.
“Dan pihak CCCC dah beri jaminan bahawa esok dia akan mula kerja-kerja untuk buat temporary culvert,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan supaya pembinaan pembentung berkenaan dibuat di alur air sedia ada bagi memastikan fungsi semula jadi saliran tidak terjejas.
Difahamkan kira-kira 600 buah rumah di Kampung Kubang Ikan dan Kampung Cendor dikenal pasti terjejas akibat kejadian banjir berkenaan.

Sementara itu, wakil penduduk, Zakaria Hamzah, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan semua pihak yang terlibat atas keprihatinan serta tindakan pantas menangani masalah berkenaan.
“Saya juga ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang, barisan exco dan juga ahli jawatankuasa bertindak untuk masalah banjir ini dan pihak media juga.
“Semoga hasil usaha kita ini dengan kerjasama semua pihak yang terlibat dapat cari jalan solution (penyelesaian) yang terbaik untuk selesaikan masalah yang dibimbangi, dirisaui oleh kami warga penempatan kampung ini,” katanya.
Menurutnya, penduduk kampung tidak menolak pembangunan seperti projek ECRL yang membawa manfaat ekonomi kepada kawasan itu, namun berharap langkah sewajarnya diambil agar masalah banjir tidak berulang.-PAHANGMEDIA

