Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 25 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1 juta kepada warga emas melalui Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas Negeri Pahang 2025.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, program yang masuk kali kedua ini dapat meringankan beban rakyat khususnya warga emas.
“Pada 17 Mei 2025, YAB Menteri Besar telah melancarkan Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas Negeri Pahang di Hospital Kuala Lipis. Program ini diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan RM1 juta yang telah dan bakal memberi manfaat kepada 655 orang penerima di seluruh negeri.
“Perlu difahami bahawa kanta intraokular ini tidak diberikan secara percuma di Malaysia. Pesakit biasanya perlu membeli sendiri dengan harga antara RM800 hingga RM3,000 seunit. Justeru itu, usaha Kerajaan Negeri menyediakan subsidi ini amat bermakna bagi meringankan beban rakyat, khususnya warga emas.
“Pada tahun 2024, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah menerima RM1.5 juta untuk tujuan ini dan seramai 854 pesakit mendapat manfaat. Pengagihan kanta intraokular dilaksanakan secara telus, adil, tanpa mengira kaum, agama, sosioekonomi atau fahaman politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas Negeri Pahang di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS).
Tambah beliau, terdapat empat hospital kerajaan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Kuala Lipis, Lipis; dan Hospital Rompin, Rompin.
Beliau turut melahirkan harapan agar inisiatif ini memberi sinar baharu kepada rakyat khususnya warga emas yang selama ini terbatas penglihatan mereka. -PAHANGMEDIA