Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2025 : Industri perlombongan dan pengkuarian di Pahang kini menunjukkan perkembangan lebih mampan dan bertanggungjawab sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap sektor berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, berkata pencapaian ini adalah hasil komitmen tinggi pengusaha industri yang melaksanakan operasi dengan lebih bertanggungjawab.

“Saya amat berbesar hati kerana Keputusan Penarafan Kemampanan Industri Perlombongan dan Pengkuarian menggunakan Sustainable Development Indicator (SDI) yang dilaksanakan oleh JMG menunjukkan peningkatan positif, khususnya dalam sektor perlombongan.
“Jika sebelum ini industri ini sering menerima persepsi negatif masyarakat, kini penarafan baik dan cemerlang yang dicapai membuktikan bahawa komitmen pemain industri semakin tinggi untuk melaksanakan operasi secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan perasmian mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sempena Majlis Aspirasi Mampan Pahang 2025: “Towards A Responsible Ecosystem in Minerals Industry” di Swiss-Belhotel, di sini, hari ini
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Malaysia, YBhg. Datuk P. Geol. Zamri Ramli, Pegawai Daerah Kuantan YH Dato’ Sharuddin Jali dan Pengarah JMG Pahang, YH. Puan Hajah Siti Aminah Abdul Sarif.
Majlis itu menghimpunkan lebih 350 peserta terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, wakil agensi negeri dan Persekutuan, serta pemain industri mineral di Pahang.

Menurut YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi lagi, pencapaian tersebut telah meningkatk
an keyakinan masyarakat terhadap industri mineral, selain membuktikan aspirasi pembangunan mampan kini benar-benar dihayati dan dilaksanakan di negeri ini.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada JMG Malaysia serta JMG Pahang atas penganjuran majlis berkenaan selain turut menyifatkan ia sebagai manifestasi penting aspirasi bersama dalam membentuk ekosistem industri perlombongan dan pengkuarian yang lebih mampan.
“Majlis ini bukan sahaja platform perkongsian ilmu, malah menjadi medan untuk kita mengadaptasi amalan terbaik (best practice) dalam pengurusan sumber mineral di Negeri Pahang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hala tuju pembangunan mineral negeri ini berakar daripada dasar Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, mampan serta memberi pulangan langsung kepada rakyat.
“Aspirasi ini menekankan bahawa setiap pembangunan ekonomi negeri mesti bersifat inklusif, mampan dan memberi pulangan langsung kepada rakyat.
“Ia tidak hanya menilai kejayaan dari segi angka hasil semata-mata, tetapi juga dari segi kesejahteraan masyarakat, kelestarian alam sekitar dan integriti tadbir urus,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri akan terus menyokong pelbagai inisiatif yang dilaksanakan JMG serta pemain industri, namun kejayaan sebenar hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, agensi teknikal, industri dan masyarakat awam.-PAHANGMEDIA

