Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 SEPTEMBER 2025 : Seramai 700 peserta menyertai acara Gynae Cancer Awareness Run & Walk 2025 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan wanita mengenai kanser ginekologi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, ini bersempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Wanita.
“Program ini bersempena Bulan Kesedaran Kanser Wanita pada 6 September setiap tahun. Tujuannya nak bagi kesedaran kepada masyarakat umum, khususnya wanita.

“Kanser ini (kanser ginekologi) salah satu penyakit membahaya yang menyerang wanita dan penyakit ini ada pelbagai jenis iaitu kanser pangkal rahim, kanser rahim, kanser ovari.
“Dengan mengadakan penganjuran ini, kita harap dapat memberi informasi dan kesedaran khususnya wanita untuk membuat pemeriksaan awal,” katanya.
Tambahnya, program yang mellibatkan dua kategori larian santai ini juga telah menerima lebih kurang 700 penyertaan, melibatkan peserta daripada negeri ini serta luar Pahang.

“Hari ini kita ada dua kategori, larian santai 5 kilometer (km) dan berjalan santai 3 km dan lebih kurang 700 penyertaan.
“Alhamdulillah sambutan cukup baik dan semasa penyampaian hadiah tadi saya lihat peserta dari Kelantan, Johor dan Terengganu, ini membuktikan bahawa program ini dapat sebar maklumat di luar Pahang.
“Saya tertarik dengan kreativiti dari pihak penganjur, biasanya peserta berlari sahaja tapi kali ini ada banyak kategori dan salah satunya berlari dengan kostum,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga kesihatan dengan menjalani pemeriksaan awal secara berkala, khususnya golongan wanita yang berisiko menghidap kanser ginekologi.
“Diharap semua membuat saringan awal supaya kita tahu mengenai kesihatan supaya dapat membuat tindakan awal mahupun yang sedang berhadapan dengan penyakit kanser ini kena kuat semangat selain daripada mengikut arahan doktor dan jaga pemakanan,” katanya.
Bertemakan Nobody Fight Alone, program anjuran Persatuan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) itu dilaksanakan acara pelepasannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim yang kemudiannya turut serta dalam larian berkenaan. -PAHANGMEDIA

