Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 04 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan merasmikan Laman Pekan Lama, Jalan Al-Sultan Abdullah dan Jalan Orang Kaya Indera Shahbandar di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Pekan Lama sebelum ini pernah mengalami kemerosotan apabila deretan kedai tradisional yang sarat dengan nilai sejarah menjadi terbiar ekoran arus kemodenan.

Menyedari kepentingan memelihara warisan tersebut, projek menaik taraf Pekan Lama dilaksanakan hasil titah inisiatif KDPB Sultan Pahang di mana Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja (MPP) sebagai pelaksana dan ECERDC sebagai penaja dengan peruntukan berjumlah RM6 juta.
Usaha tersebut meliputi kerja-kerja penyelenggaraan seni bina bangunan lama, deretan kedai serta infrastruktur bagi menggalakkan aktiviti pelancongan sekali gus menjadikan Pekan Lama kembali bernyawa sebagai destinasi warisan bersejarah negeri.

Pada 11 Disember 2024 lalu, dengan kelulusan Kerajaan Negeri dan sokongan Jabatan Kerja Raya (JKR), MPP menamakan semula Jalan Pekan Lama yang berjarak 15 kilometer sebagai Jalan Al-Sultan Abdullah.
Turut dilaksanakan ialah penukaran nama Jalan Teng Quee di pusat bandar kepada Jalan Orang Kaya Indera Shahbandar, selaras dengan titah KDPB Sultan Pahang dalam usaha menaik taraf Pekan Lama.

Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan doa dan tayangan montaj berkenaan sejarah Pekan Lama dan penukaran nama Jalan Al-Sultan Abdullah dana Jalan Orang Kaya Dato’ Indera Shahbandar.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menandatangani plak Laman Pekan Lama dan replika ceper Jalan Al-Sultan Abdullah dan Jalan Orang Kaya Indera Shahbandar sebelum berkenan berangkat bagi melawat sekitar Laman Pekan Lama dan Rumah Pahang.-PAHANGMEDIA

