Oleh: Ain Nadhirah Basha dan Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OGOS 2025: Aksi terjunan julung kali dibawakan oleh Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jugra menjadi tumpuan utama ribuan pengunjung yang hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pahang bertempat di Padang MBK 1 di sini hari ini.
Pasukan khas itu melakukan terjunan dari ketinggian 4,700 kaki sambil membawa lima bendera kebanggaan iaitu Jalur Gemilang, Bendera Negeri Pahang, Bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bendera TUDM dan Bendera Pasukan Khas TUDM.

Sorakan gemuruh orang ramai bergema sebaik penerjun pertama, Kapten Ahmad Ikhwan Md Khaid, yang memiliki lebih 500 kali pengalaman terjunan, berjaya mendarat di Padang MBK 1 dengan membawa Jalur Gemilang.
Beliau kemudiannya disusuli oleh Kolonel Muhamad Mustafa Omar, yang merupakan Pegawai Memerintah Pasukan Khas TUDM dengan membawa bendera Negeri Pahang, manakala Leftenan Kolonel Hendra Ahmad selaku penerjun ketiga yang membawa bendera ATM.

Penerjuan keempat, Leftenan Kolonel Dzulhazmy Zainal Abidin membawa bendera TUDM dan Mejar Mohd Irshad Ismail selaku penerjuan kelima membawa bendera Pasukan Khas TUDM.
Kecekapan kesemua penerjun mengendalikan payung terjun di udara, melakukan pengiraan jarak ketinggian dan bacaan kelajuan angin jelas memperlihatkan tahap profesionalisme mereka sehingga berjaya melakukan pendaratan tepat di lokasi yang ditetapkan, sekali gus memukau para hadirin.

Selain persembahan udara, demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh Rejimen Ke-11 Gerak Khas (11 RGK) dengan sokongan Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanize (12 RAMD Mekanize) turut mencuri perhatian penonton.
Demontrasi berkenaan memperlihatkan kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menumpaskan kumpulan pengganas yang digelar ‘Gerakan Militan Nusantara’ dalam operasi taktikal penuh dramatik.

Persembahan itu turut melibatkan tujuh kenderaan perisai ACV Adnan, tujuh AV8 Gempita dan meriam MM Pack Howitzer yang menonjolkan keupayaan tempur darat ATM.
Kemunculan dua pesawat Bae Hawk 208 dan empat pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM dalam persembahan Fly Past turut menggamatkan sambutan yang diraikan penuh semangat patriotisme itu.
Difahamkan sebanyak 20 kontinjen keselamatan negara dengan 66 aset kenderaan juga mengambil bahagian dalam perarakan sekali gus menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada tahun ini. -PAHANGMEDIA

