Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
RAUB, 29 OGOS 2025 : Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung bulan hadapan setelah semua kerja pembinaan dan pengujian tangki pemendapan selesai sepenuhnya.
Menurut YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, pengoperasian loji rawatan air mentah ini dapat menampung kira-kira 8,000 pemilik akaun di sekitar bandar Raub yang mengalami gangguan bekalan air terutamanya ketika hujan sebelum ini.

“Dalam lawatan kita ini, kita meninjau status Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut yang kita sedia maklum mengalami isu bekalan air yang mana selalu terjejas bekalannya ekoran kadar kekeruhan yang tinggi.
“Kekeruhan yang tinggi ini sehingga menjejaskan bekalan air di kawasan sekitar terutamanya sekitar bandar Raub, ada lebih kurang 8,000 akaun pengguna di bawah PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad).
“Bagi menangani masalah kekeruhan (air), pembinaan Loji Rawatan Air dan pre-sed (pre-sedimentation) tank (tangki prapemendapan) yang kita jangka siap sepenuhnya pada awal September bagi tujuan ujian,” katanya.

Tambah beliau tangki pra mendapan yang digunapakai di loji ini penting bagi memastikan saluran air mentah yang bersih dapat dibekalkan kepada pengguna sekitar.
“Kalau kita tengok keadaan sungai pada hari ini, normal, boleh dikatakan jernih dengan NTU 80 saya difahamkan. Air ini akan direct terus dipam menggunakan pam. Sekarang ini kita ada empat pam, tapi sekarang di activate dua pam sahaja. Air ini direct terus ke tangki sebab jernih, dan NTU rendah.
“Isunya sekarang bila berlaku kekeruhan kita tak boleh direct terus (salur), jadi kita perlu mendapkan air itu menggunakan pre-sed tank. Jadi pre-sed tank ini penting sekiranya berlaku kekeruhan terutamanya bila berlaku hujan menyebabkan kekeruhan yang tinggi sehingga lebih daripada 1000 NTU.
“Dengan projek yang kita buat ini, diharap isu ini dapat diselesaikan seperti mana di kawasan lain yang menghadapi masalah sama seperti di LRA Klau, dan LRA Semantan,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang, Tuan Ir. Mohd Sha’ri Mohammed, pihaknya akan mula menguji pam di loji ini pada minggu pertama September ini.
“Kita ada tiga pam dan dijangka dalam minggu ini kita akan siapkan satu pam dan secara practices kita akan guna dua pam untuk 24 jam secara bergilir.
“Kita akan cuba siapkan pada awal September secara physically dan dalam masa yang sama kita akan menyiapkan sedikit-sedikit external work.
“Dalam masa yang sama kita juga akan mengadakan ujian kebolehgunaan sistem yang kita ada sekarang. Dan kita jangka boleh beroperasi sepenuhnya pada penghujung minggu ketiga bulan September ini,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Hamadan @ Hamdan Hussin; dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun. -PAHANGMEDIA

